al-quran.gif

Mafhum Hadis; Hendaklah kamu menghiasi bacaan (mencantikkan) bacaan al-Quran dengan suara-suara kamu dengan mempelbagaikan suara kamu. (Riwayat Abu Daud)

Sejarah Tarannum

Rasulullah s.a.w. menerima Al-Quran pada tahun 610 masihi. Baginda memerintahkan umatnya membaca Al-Quran dengan suara yang elok serta diperindahkan lagi (tazyin / tarannum). Kemudian terdapat beberapa orang sahabat yang masyhur sebagai qari-qari yang baik antaranya Abdullah bin Mas’ud RA, Abu Musa Asy’ari dan ramai lagi.

Kemudian pada zaman tabiin muncul pula qari-qari seperti Alqamah bin Qis di Kufah (Tahun 62 hijrah). Abdullah b Saib di Mekah (70 hijrah) dan lain-lain. Begitulah sejarah pembacaan Al-Quran bertarannum yang terus berkembang sehingga ke hari ini.

Oleh kerana tarannum sesuatu yang bersifat seni pendengaran (sima’i), maka Jumhur qurra bersepakat bahawa tidak diketahui secara sanadnya bagaimanakah bacaan berlagu Rasulullah s.a.w. itu. Ketika zaman keagungan Islam dahulu, cabang-cabang ilmu Islam begitu pesat berkembang serta mempunyai berbagai aliran (mazhab). Seiring dengan itu, ilmu tarannum juga membangun serta mempunyai berbagai aliran yang popular antaranya: Misri (Mesir).Hijazi (Mekah dan Madinah), Iraqi, Kurdi (sempadan Iraq dan Turki), ‘Ajami (Iran) dan lain-lain. Kini aliran yang paling popular dan diterima di seluruh dunia ialah aliran Misri. Qari-qari Mesir yang muktabar telah mengambil dan mengubah suai tarannum-tarannum atau lebih mereka sebutkan sebagai ilmu maqamat itu dari aliran-aliran di atas mengikut budaya mereka serta mengarabkannya untuk bacaan Al-Quran.

Perbandingan Aliran Hijazi dan Misri

Aliran Hijazi
• Padang pasir.• Bukit bukau.• Suhu tinggi. Lalu: irama dan rentaknya lincah dan nada suaranya tinggi kehangatan.

Aliran Misri
• Lembah nil.• Subur menghijau.• Suhu sederhana.Lalu: irama dan rentaknya lembut dan suaranya sederhana kemanisan.

Asal Ilham Tarannum

Manusia yang berjiwa seni selalulah mendapat idea-idea dari persekitarannya. Sejak zaman silam, pengaruh bunyi geseran kayu, bunyi tiupan angin, bunyi kicauan burung, bunyi air mengalir dan lain-lain telah mencetuskan idea untuk membuat lagu ataupun di dalam bahasa arab disebut At-Tarannum, Al-Ghina, ataupun ilmu Al-Maqamat.


Pengenalan Tarannum

Al-Quran merupakan kalam Allah yang diturunkan kepada junjungan besar Rasulullah saw melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. secara beransur-ansur dan disampaikan kepada kita dengan jalan yang mutawatir serta membacanya merupakan suatu ibadah. al-Quran mempunyai kesenian yang unik dari sudut bacaan yang memerlukan seseorang menguasai ilmu tajwid, tarannum, qiraat sab’ie, dan lain-lain lagi demi memantapkan penguasaan bacaan Tartil mengikut bentuk dan kehendak ayat agar mudah difahami, dihayati dan diamalkan dengan sempurna seterusnya dapat melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang.

Tuntutan bertarannum dalam sabda Rasul saw :

حَسِّنُوا الْقُرْءَانَ بِأَصْوَاتِكُمْ فَأِنَّ الصَّوْتَ الْحَسَنَ يَزِيْدُ الْقُرْءَانَ حَسَنًا

Maksudnya: ”Perelokkanlah bacaan al-Quran itu dengan suara-suara kamu, sesungguhnya suara yang elok sahaja boleh menambahkan keelokkan bacaan al-Quran itu”.

(Hadith Riwayat Abu Daud)

Bacaan al-Quran yang terbaik adalah bacaan yang menggabungkan keelokan suara, bertajwid dan bertarannum yang mencapai martabat bacaan tartil yang sebenar (Nik Jaafar 1998). Menurut Nurliana Mohd Shariff (2003), alunan tarannum Al-Quran bukan sekadar tidak sama dengan lagu-lagu nyanyian lain seperti Lagu Penglipur Lara, Syair, Qasidah, Nasyid dan sebagainya bahkan al-Quran juga tidak boleh dilagukan seperti lagu-lagu nyanyian tersebut. Perkara ini telah jelas diterangkan oleh baginda saw dalam sabdanya :

إقرؤا القرأن بلحون العرب وأصواتها وإياكم ولحون اهل الفسق وأهل كتابين

Bermaksud : “Bacalah al-Quran itu dengan irama (lagu) kearaban dan dengan suara berlahjah arab. Jangan sekali-kali kamu melagukan al-Quran itu dengan gaya lagu ahli fasik dan ahli-ahli kitab (Kristian dan Yahudi).” (Hadis Riwayat Imam Thabrani & Baihaqi).

Semoga blog Tahsin al-Quran ini dapat membantu para pelajar menguasai Kemahiran al-Quran khususnya dalam bidang Tarannum. Sesungguhnya ahli al-Quran merupakan “Ahlullah Wa Khassah” yang dijanjikan kedudukan yang mulia di sisi Allah swt.