al-quran.gif

Mafhum Hadis; Hendaklah kamu menghiasi bacaan (mencantikkan) bacaan al-Quran dengan suara-suara kamu dengan mempelbagaikan suara kamu. (Riwayat Abu Daud)

Pembahagian Tarannum

Tarannum secara umumnya terbahagi kepada dua kategori:

a) Tarannum bit Tahqiq – Tarannum yang dibaca dengan kadar tahqiq menurut kaedah ilmu tajwid. Biasanya kategori ini diamalkan oleh Qari-qari mesir muktabar seperti Syeikh Abdul Basit Abdul Samad dan lain-lain. Kategori ini digunapakai di dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

b) Tarannum bit Tadwir – Tarannum yang dibaca dengan kadar Tadwir menurut kaedah ilmu tajwid. Biasanya kategori ini diamalkan oleh oleh Imam-imam Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah seperti Fadhilatud Duktur Abdur Rahman bin Abdul Aziz Al-sudais dan lain-lain.

ASAS ALIRAN TARANNUM

Aliran tarannum Hijazi popular di dunia Islam sebelum tahun 1940-an. Lagu-lagu asas mereka boleh diketahui dengan kata-kata “Bihumurin jasad”

1. Banjakah.
2. Husaini.
3. Mayyah.
4. Rakbi.
5. Jiharkah.
6. Sikah.
7. Dukah.

Selain itu terdapat pula lagu-lagu cabang seperti Ruma, Ushshak. Sun’ani, Yaman Hijaz, Hirab dan lain-lain.

Asas Tarannum Aliran Misri

Selepas tahun 1940-an hingga ke hari ini, aliran tarannum Misri pulalah yang popular. Tarannum asas aliran Misri ialah:

1. Bayyati.
2. Soba.
3. Hijaz.
4. Nahawand.
5. Rast.
6. Sikah.
7. Jiharkah.

Selanjutnya terdapat pula tarannum-tarannum seperti Husaini, Huzam, Farahfaza, Shad, Nawa Athar, Rahat El Arwah dan lain-lain yang kini dianggap sebagai lagu-lagu cabang (furu).

Terdapat tarannum-tarannum yang bersamaan nama di dalam aliran Hijazi dan aliran Misri, malah terdapat juga tarannum Misri yang diberi nama Hijaz. Ini menunjukkan keterbukaan dan keilmuan qari-qari Mesir dalam mengambil, mengubahsuai dan memperbaharui kearah mencantikkan lagi tarannum-tarannum sesuai dengan suasana, peredaran zaman dan citarasa terkini, tetapi tidaklah sampai menghilangkan identiti asal dan yang paling utama, keutuhan tarannum bil Quran yang berlahjah arab.

Untuk bertarannum, para Qari semestilah mengenali beberapa komponan penting untuk mengarabkan bacaan mereka .

2.3.1 Harkat (suatu alunan irama yang mengandungi beberapa qit’ah dan satu mahattah).

2.3.2 Qit’ah (suatu alunan irama pendek tanpa mahattah).

2.3.3 Burdah asli dan sina’i (bunga-bunga suara yang terjadi dengan sendirinya dan yang digubah).

2.3.4 Mahattah (suatu bentuk atau gaya penghujung harkat yang sempurna).

2.3.5 Salalim su’ud dan nuzul (suara mendaki dan menurun – mengikut ilmu tangga-tangga suara ).

2.3.6 Ihtilal al-lahn (kemahiran mencondongkan suara).

2.3.7 Wuslah al-mumathalah (kemahiran menggabungkan alunan beberapa tarannum yang sesuai di dalam satu harkat).




Pengenalan Tarannum

Al-Quran merupakan kalam Allah yang diturunkan kepada junjungan besar Rasulullah saw melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. secara beransur-ansur dan disampaikan kepada kita dengan jalan yang mutawatir serta membacanya merupakan suatu ibadah. al-Quran mempunyai kesenian yang unik dari sudut bacaan yang memerlukan seseorang menguasai ilmu tajwid, tarannum, qiraat sab’ie, dan lain-lain lagi demi memantapkan penguasaan bacaan Tartil mengikut bentuk dan kehendak ayat agar mudah difahami, dihayati dan diamalkan dengan sempurna seterusnya dapat melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang.

Tuntutan bertarannum dalam sabda Rasul saw :

حَسِّنُوا الْقُرْءَانَ بِأَصْوَاتِكُمْ فَأِنَّ الصَّوْتَ الْحَسَنَ يَزِيْدُ الْقُرْءَانَ حَسَنًا

Maksudnya: ”Perelokkanlah bacaan al-Quran itu dengan suara-suara kamu, sesungguhnya suara yang elok sahaja boleh menambahkan keelokkan bacaan al-Quran itu”.

(Hadith Riwayat Abu Daud)

Bacaan al-Quran yang terbaik adalah bacaan yang menggabungkan keelokan suara, bertajwid dan bertarannum yang mencapai martabat bacaan tartil yang sebenar (Nik Jaafar 1998). Menurut Nurliana Mohd Shariff (2003), alunan tarannum Al-Quran bukan sekadar tidak sama dengan lagu-lagu nyanyian lain seperti Lagu Penglipur Lara, Syair, Qasidah, Nasyid dan sebagainya bahkan al-Quran juga tidak boleh dilagukan seperti lagu-lagu nyanyian tersebut. Perkara ini telah jelas diterangkan oleh baginda saw dalam sabdanya :

إقرؤا القرأن بلحون العرب وأصواتها وإياكم ولحون اهل الفسق وأهل كتابين

Bermaksud : “Bacalah al-Quran itu dengan irama (lagu) kearaban dan dengan suara berlahjah arab. Jangan sekali-kali kamu melagukan al-Quran itu dengan gaya lagu ahli fasik dan ahli-ahli kitab (Kristian dan Yahudi).” (Hadis Riwayat Imam Thabrani & Baihaqi).

Semoga blog Tahsin al-Quran ini dapat membantu para pelajar menguasai Kemahiran al-Quran khususnya dalam bidang Tarannum. Sesungguhnya ahli al-Quran merupakan “Ahlullah Wa Khassah” yang dijanjikan kedudukan yang mulia di sisi Allah swt.