al-quran.gif

Mafhum Hadis; Hendaklah kamu menghiasi bacaan (mencantikkan) bacaan al-Quran dengan suara-suara kamu dengan mempelbagaikan suara kamu. (Riwayat Abu Daud)

Contoh Power Point

Pengenalan Tarannum

Al-Quran merupakan kalam Allah yang diturunkan kepada junjungan besar Rasulullah saw melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. secara beransur-ansur dan disampaikan kepada kita dengan jalan yang mutawatir serta membacanya merupakan suatu ibadah. al-Quran mempunyai kesenian yang unik dari sudut bacaan yang memerlukan seseorang menguasai ilmu tajwid, tarannum, qiraat sab’ie, dan lain-lain lagi demi memantapkan penguasaan bacaan Tartil mengikut bentuk dan kehendak ayat agar mudah difahami, dihayati dan diamalkan dengan sempurna seterusnya dapat melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang.

Tuntutan bertarannum dalam sabda Rasul saw :

حَسِّنُوا الْقُرْءَانَ بِأَصْوَاتِكُمْ فَأِنَّ الصَّوْتَ الْحَسَنَ يَزِيْدُ الْقُرْءَانَ حَسَنًا

Maksudnya: ”Perelokkanlah bacaan al-Quran itu dengan suara-suara kamu, sesungguhnya suara yang elok sahaja boleh menambahkan keelokkan bacaan al-Quran itu”.

(Hadith Riwayat Abu Daud)

Bacaan al-Quran yang terbaik adalah bacaan yang menggabungkan keelokan suara, bertajwid dan bertarannum yang mencapai martabat bacaan tartil yang sebenar (Nik Jaafar 1998). Menurut Nurliana Mohd Shariff (2003), alunan tarannum Al-Quran bukan sekadar tidak sama dengan lagu-lagu nyanyian lain seperti Lagu Penglipur Lara, Syair, Qasidah, Nasyid dan sebagainya bahkan al-Quran juga tidak boleh dilagukan seperti lagu-lagu nyanyian tersebut. Perkara ini telah jelas diterangkan oleh baginda saw dalam sabdanya :

إقرؤا القرأن بلحون العرب وأصواتها وإياكم ولحون اهل الفسق وأهل كتابين

Bermaksud : “Bacalah al-Quran itu dengan irama (lagu) kearaban dan dengan suara berlahjah arab. Jangan sekali-kali kamu melagukan al-Quran itu dengan gaya lagu ahli fasik dan ahli-ahli kitab (Kristian dan Yahudi).” (Hadis Riwayat Imam Thabrani & Baihaqi).

Semoga blog Tahsin al-Quran ini dapat membantu para pelajar menguasai Kemahiran al-Quran khususnya dalam bidang Tarannum. Sesungguhnya ahli al-Quran merupakan “Ahlullah Wa Khassah” yang dijanjikan kedudukan yang mulia di sisi Allah swt.